APA CERITA?

Program Inkubasi untuk Mencungkil Idea & Bakat Penceritaan Baharu

Apa Cerita? merupakan panggilan terbuka dan program inkubasi yang bertujuan mencungkil idea, daya kreatif dan bakat penceritaan baharu dalam kalangan belia di Singapura.

Program ini diwujudkan bagi mengenal pasti individu-individu yang mempunyai idea menarik, sudut pandangan tersendiri, daya imaginasi yang tinggi dan naluri membuak-buak hendak bercerita. Di samping itu, usaha ini bermatlamat memberikan mereka ruang mengembangkan bakat melalui proses pementoran. Kami juga percaya bahawa bakat bercerita tidak semestinya bergantung pada kemahiran menghasilkan karya semata-mata. Seseorang penulis mungkin memiliki idea yang kuat dan kebolehan bercerita, tetapi beliau belum tahu cara mengolahkannya agar menjadi cerpen, skrip, filem atau bentuk karya yang lain.

Oleh sebab itu, Apa Cerita? mahu menggilap potensi tersebut terlebih dahulu. Melalui proses inkubasi, peserta terpilih akan menerima bimbingan ketika mengembangkan idea, mempertajam penggunaan bahasa Melayu, memperkukuh kemahiran bercerita dan menerokai bentuk karya yang paling sesuai buat idea masing-masing.

Pertama, peserta akan mengikuti proses bimbingan bersama kolektif Meja Conteng untuk memperhalusi penggunaan bahasa dan kemahiran bercerita. Selanjutnya, bagi aspek pengembangan idea, konsep dan pemilihan wahana, peserta akan dipadankan dengan mentor dalam kalangan penggiat seni dan pakar industri berdasarkan keperluan serta arah idea tersendiri.

Panggilan terbuka Apa Cerita? kini dirasmikan!

Hantarkan penyertaan anda melalui: bit.ly/4efjkVZ

Tarikh Tutup: 30 Nov 2026, 11:59 mlm
Dibuka kepada warga dan Penduduk Tetap Singapura berusia 18 hingga 35 tahun.

Panduan Penyertaan serta Syarat & Ketentuan: bit.ly/4i7alHu

Apa Cerita? | Panggilan Terbuka

〰️

Apa Cerita? | Panggilan Terbuka 〰️

Apa yang Kami Cari?

Pada peringkat saringan, kami menumpukan perhatian terhadap:

  • Idea yang menarik dan boleh dikembangkan

  • Sudut pandangan atau suara tersendiri

  • Daya kreatif dan imaginasi yang tinggi

  • Naluri dan bakat penceritaan

  • Kesediaan hendak belajar, menerima bimbingan dan mengembangkan idea dalam bahasa Melayu

Kami tidak mencari karya yang serba-serbi sempurna – kami mencari potensi di sebalik sesebuah idea.

Kriteria Penyertaan

Peserta mesti memenuhi semua kriteria kelayakan berikut:

  • Berusia 18 hingga 35 tahun pada tahun 2026.

  • Warga atau Penduduk Tetap (PR) Singapura.

  • Idea yang dihantar haruslah asli dihasilkan peserta dan belum pernah diterbitkan atau dipersembahkan dalam apa-apa bentuk atau di mana-mana platform, sama ada secara dalam talian mahupun fizikal.

  • Sekiranya terpilih, peserta harus bersedia mengembangkan idea mereka dalam bahasa Melayu melalui program inkubasi dan bimbingan.

Tema

Tema tidak ditetapkan dalam panggilan terbuka ini. Peserta bebas mengemukakan apa-apa pun cerita, subjek, idea atau naratif, sama ada cereka atau diinspirasikan pengalaman sebenar, kontemporari atau imaginatif, dan peribadi atau pemerhatian.

Hal yang diutamakan ialah kekuatan idea, natijah yang ingin disampaikan, sudut pandangan yang diketengahkan dan potensi idea dikembangkan menjadi cerita yang menarik.

Semua idea dan bahan penyertaan haruslah asli dihasilkan peserta. Idea atau bahan yang dijana, dikembangkan atau dibantu secara substantif menggunakan alat kecerdasan buatan generatif (Generative AI) tidak akan diterima. Sekiranya penggunaan Generative AI dikesan pada karya dan ketika sebarang peringkat program, pihak penganjur berhak membatalkan penyertaan, termasuk selepas peserta diterima mengikuti program inkubasi.

Apa yang Perlu Dihantar?

Peserta perlu menyerahkan huraian bertulis yang menerangkan idea dan jalan cerita yang ingin dikembangkan. Penulisan tersebut bukanlah karya sastera atau manuskrip yang sudah siap. Kami ingin memahami idea di sebalik ceritanya dahulu, misalnya teras utama yang hendak disampaikan dan cara peserta membayangkan arah pengembangan cerita.

Sehubungan dengan itu, peserta boleh mengirimkan sekali papan cerita (storyboard), lakaran, rujukan visual, susunan imej dan bahan-bahan visual lain bagi memperjelas idea masing-masing. Namun, bahan visual sedemikian tidak dituntut langsung daripada peserta malah tidak akan dinilai reka bentuk atau tahap penyampaiannya.

Maklumat yang Perlu Dimasukkan

Pastikan perkara-perkara berikut diterangkan dalam huraian bertulis:

Apakah idea atau cerita anda?
Ceritakan idea atau jalan cerita yang ingin dikembangkan. Apakah yang berlaku? Siapakah watak utama? Apakah tumpuan cerita?

Mengapa anda mahu menyampaikan cerita ini?
Apakah yang menarik tentang idea ini? Mengapa cerita ini penting atau bermakna hendak disampaikan?

Apakah yang menjadikan cerita anda menarik atau unik?
Ceritakan tentang sudut pandangan, watak, latar, pengalaman atau unsur-unsur lain yang mampu membezakannya daripada karya lain.

Apakah bentuk karya yang sudah anda bayangkan?
Jika diberi peluang mengembangkan idea ini, apakah bentuk karya yang akan dipilih? Contohnya, cerpen, novel, lagu, filem ringkas atau bersiri, persembahan, kandungan digital atau bentuk kreatif yang lain, dan sebutkan sebab-sebabnya.

Cara Menghantar Penyertaan

Isikan borang penyertaan dan muat naik hantaran idea anda melalui pautan berikut: bit.ly/4efjkVZ

Bagi fail yang bersaiz besar, peserta boleh mengirimkan pautan mengakses atau muat turun fail. Pastikan pautan boleh diakses oleh pihak penganjur sepanjang tempoh penilaian.

Hantarkan fail anda ke alamat info@kameliaco.com.

Tulis tajuk e-mel: Apa Cerita? | Nama Anda | Tajuk Cerita/Idea

Cara Penyertaan Dinilaikan

Panel penilai akan menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

Kekuatan idea atau premis: Idea atau premis yang dikemukakan jelas, menarik dan mencetuskan rasa ingin tahu terhadap kejadian seterusnya.

Keunikan sudut pandangan dan suara: Idea yang dikemukakan menawarkan sudut pandangan atau cara penceritaan tersendiri.

Naluri penceritaan: Keupayaan mengenal pasti unsur yang menarik dalam sesebuah cerita dan menyampaikannya dengan cara yang menggalakkan orang ramai supaya terus mengikuti.

Daya kreatif dan keaslian: Idea atau pendekatan menunjukkan keaslian dan daya kreatif semasa menerokai sesuatu subjek daripada sudut yang baharu, imaginatif atau tidak dijangkakan.

Potensi pengembangan: Idea berpotensi diterokai, dikembangkan dan diperkukuh melalui proses inkubasi.

Pertanyaan

Semua pertanyaan mengenai panggilan terbuka atau proses penyertaan Apa Cerita? boleh dihantar melalui e-mel ke alamat info@kameliaco.com.

Panduan Penyertaan serta Syarat & Ketentuan: bit.ly/4i7alHu

Apa Cerita? | Program Inkubasi

〰️

Apa Cerita? | Program Inkubasi 〰️

Garis Masa

Jika Idea Anda Terpilih

Peserta yang berjaya mesti menunjukkan iltizam dan giat melibatkan diri sepanjang tempoh program inkubasi dari Februari hingga Jun 2027.

Program inkubasi merangkumi sesi pementoran, pembangunan idea dan karya serta tugasan atau proses susulan yang dipersetujui. Jadual akan diselaraskan antara peserta dengan mentor, sambil mempertimbang kesediaan kedua-dua pihak.

Menerusi proses pementoran, peserta akan:

  • mengembangkan cerita: mengukuhkan idea, premis dan naratif;

  • mempertingkat penguasaan bahasa dan kemahiran: membina keupayaan berkarya dalam bahasa Melayu;

  • memperhalusi ketukangan menulis, misalnya mencipta struktur, watak, dialog, kaedah menulis dan menyunting; dan

  • memilih wahana sesuai: mengolahkan cerita kepada bentuk yang sehaluan matlamat tulisan.

Apabila menerima tawaran daripada penganjur, peserta pun akur akan kepentingan menghadiri semua sesi yang telah ditetapkan, giat menyumbang kepada setiap proses bimbingan serta sanggup melaburkan segenap masa dan tenaga demi berkarya.

Selepas program inkubasi tamat, karya yang terpilih turut berpeluang diterbitkan, dipentaskan atau dipersembahkan kepada khalayak umum pada separuh kedua tahun 2027. Hal ini tertakluk pada kesesuaian karya, pembangunan projek, sumber yang ada dan perancangan program.